Niat ini akan menjadikan belajar sebagai ibadah dan salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah dan akan mendapat pahala atas segala usaha, masa dan harta yang digunakan.
Pelajar-pelajar muslim mesti membetulkan pandangannya terhadap pelajaran, bermula dari penguasaan ilmu bagi menghadapi peperiksaan akhir, pelajar-pelajar mesti membina peribadi yang berakhlak mulia serta mampu memberi khidmat kepada kehidupan manusia dengan menghubungkan ilmu yang dipelajari dengan kehidupan.
Pendidikan akhlak mestilah diberi keutamaan dalam pendidikan Islam melebihi dari ilmu pengetahuan yang lain. Menuntut ilmu dalam Islam mempunyai adab-adab yang telah ditentukan dan perlu dihayati semasa pendidikan. Justeru itu kita berkewajipan mempelajari adab-adab tersebut dan membiasakan diri dengannya.
Pengurusan diri hendaklah dibuat dengan rapi dan teratur sama ada di rumah atau sekolah. Tempat tidur dan tempat belajar sentiasa dalam keadaan kemas dan tersusun rapi selepas digunakan. Pakaian, buku-buku dan nota-nota kuliah sentiasa teratur supaya mudah untuk dicari apabila diperlukan.
Pelajar mestilah sentiasa membersihkan diri sama ada dari segi zahir mahupun batin. Kebersihan batin yang dimaksudkan ialah kebersihan hati, ia mesti diberikan keutamaan. Ia mesti dibersihkan dari sifat-sifat terkeji seperti riak, ujub, takabbur, dendam, hasad,dengki dan lain-lain sifat yang dimurkai oleh Allah.
Seorang Pelajar hendaklah pandai memilih kawan (sahabat) karib dari kalangan kawan- kawannya. Kawan-kawan hendaklah kawan-kawan yang soleh dan mengelakkan diri dari berkawan pemuda-pemuda yang jahat. Perhubungan dengan kawan-kawan hendaklah sederhana dan dapat dikawal supaya tidak mengambil (mencuri) masa mengulangkaji pelajaran.
Bijak memilih bahan bacaan ringan bagi tujuan merehatkan minda. Bahan bacaan yang pilih mestilah berfaedah dan dapat menyihatkan akal dan jiwa serta bersih dari noda dan dosa.
Perhatian dan tumpuan kepada pelajaran mestilah diberikan sepenuhnya kerana pada tahap sekarang merupakan tahapumur yang paling ideal (sempurna) untuk belajar dan membentuk peribadi. Masa ini hendaklah dihabiskan sebaik-baiknya untuk pelajaran kerana selepas tempoh ini kewajipan-kewajipan lain seperti berkhidmat kepada nusa, bangsa dan agama sedang menanti.
Ia juga mesti mencungkil bakatnya di dalam bidang yang boleh memberi menafaat dan memperingatkan sahabat-sahabatnya supaya berusaha memupuk bakat itu untuk digunakan bagi kerja-kerja Islam. Ia juga hendaklah meminta nasihat ketika hendak memilih dan membuat keputusan dalam pemilihan bidang pengkhususan